Saturday 22 October 2011

Angan-angan Mat Jenin dan Ramli yang terkinja-kinja!

Jumaat petang 7 hb Oktober 2011, sepatutnya menjadi satu hari bersejarah yang menggembirakan buat rakyat Malaysia. Namun sebaliknya yang berlaku. Memang satu sejarah telah tercatat. Tapi bukan sesuatu yang dinantikan. Malaysia dimalukan oleh Australia 5-0. Satu berita yang cukup besar kepada peminat bolasepak tanahair. Dalam sukan kekalahan adalah satu perkara normal. Namun biarlah kekalahan itu terhasil bersandarkan dari semangat juang dan titisan peluh semangat kental. Bukan terhasil akibat dari kelemahan yang tiada ertinya. Ternyata Harimau Malaya yang gah begitu jinak di hadapan sang kanggaroo yang sepatutnya mudah di ratah kalau di ikutkan pada realiti kehidupan sebenar. Seekor harimau dengan seekor kanggaru di hutan, padang rumput savanna atau padang pasir. Jika berjumpa sudah tentu kanggaru kecut perut lari lintang pukang. Kalau dalam Rancangan National Geografi si Harimau mungkinnya dengan mudah dapat menjadikan Kanggaru bahan santapan.


Namun yang demikian perkara di atas tidak berlaku dalam sukan bolasepak. Australia dikenali sebagai Socceroos iaitu gabungan "soccer" dan kanga"roo" binatang yang gaya berjalannya adalah berlari terlompat-lompat. Binatang berkaki empat atau dua yang sukar diterjemahkan fizikalnya. Samada kaki atau tangan yang kecil berada di atas. Walaupun nampak pelik tapi binatang ini amat unik. Kerana keunikannya Australia mengambil binatang ini sebagai maskot dan jenama bolasepak mereka.

Pasukan kanggaroo ini begitu mudah membelasah ego Malaysia yang suka mencari  jalan pintas untuk glamor tapi sering berakhir dengan malu yang besar. Mungkin ada di antara peminat bolasepak Malaysia yang tidak kisah jika kalah asalkan boleh menimba pengalaman. Tapi sebenarnya ada banyak cara lagi untuk pemain menimba pengalaman. Bukan membiarkan nama Malaysia diejek dan diaibkan oleh pengkritik maupun penyokong lawan. Malahan kekalahan tanpa melawan pasukan harimau malaya ini menerima sambutan hangat daripada penyokong Indonesia dan Singapura. Mereka sangat gembira kerana dapat memberi komen yang sangat membina untuk negara yang mereka panggil Malingsia ini.

Apa jadi dengan strategi Datuk Raja Gobal yang begitu glamor selepas menang piala suzuki. Strategi apakah yang diguna pakai untuk membiarkan Pasukan harimau malaya ini meraih sengsara sebermula minit pertama. Asakan bertali arus oleh pasukan pendatang baru yang masuk ke kancah bolasepak Asia, melarikan diri dari kongkongan Asea Ocenia yang kurang mencabar. Australia bermain seolah-olah mereka sedang berdepan pasukan Brazil atau Argentina. Mereka ternyata bersedia dengan kesunguhan yang nyata. Mereka bermain pantas, Melengkapi semua sudut dan ruang tidak seperti Malaysia yang seolah-olah  baru hari pertama di gabungkan untuk latihan pemanas badan.

Kenapakah FAM boleh menerima pelawaan Australia untuk perlawanan persahabatan ini, atau adakah FAM sendiri yang menawarkan perlawanan tersebut? Kenapa FAM tidak menilai atau mengukur persediaan pasukan bolasepak harimau Malaya terlebih dahulu. Membuat perbandingan betapa kerdilnya kita berbanding Australia. Kita bukan tidak mahu mempunyai satu perlawanan persahabatan dengan mereka. Cuma layak kah kita untuk bergandingan dengan mereka yang jauh meninggalkan kita dalam ranking dunia malahan dalam segala aspek pembangunan. Walaupun Australia terkenal dengan ragbi malahan bolasepak masih di kelaskan sebagai sukan kelas ke dua tetapi dari aspek teknikal, pembangunan dan teknologi sukan, mereka jauh meninggalkan kita. Apabila membincangkan tentang pembangunan sukan bukan bermakna kepada kemudahan sukan semata-mata tetapi dari pelbagai aspek. Mental, fizikal, sains malahan pembinaan disiplin yang tinggi di kalangan pemain, jurulatih, pengurus, termasuk pemimpin dalam sukan tersebut.

Sebelum perlawanan berlansung, penulis sudah dapat membayangkan kemungkinan kita akan kalah besar. Malahan pagi sebelum perlawanan kawan sepejabat mengajak menonton bersama di restoran mamak, tetapi secara tidak sengaja penulis mengatakan kita bakal tewas dengan 6-0, untuk apa pergi menontonnya. Penulis bukan menidakkan malahan bukan mendoakan nasib malang pasukan negara tetapi secara realitinya kita belum bersedia. Malahan kita terlalu berbangga dengan kemenangan piala suzuki sampaikan seolah-olah kita sudah mencapai darjat yang terlalu tinggi.Sehingga melihat  Australia begitu rapuh bakal dikerjakan oleh Harimau Malaya. penulis sedar ramai yang mengganggap penulis tidak patriotik. Hanya pandai mengkritik. Tetapi hakikatnya penulis tertarik juga dengan perkembangan semasa bolasepak negara. Malahan  mengikuti perkembangan pasukan Harimau Malaya dari masa ke semasa. Justeru kerana itu pada perlawanan tempohari penulis awal-awal lagi sudah berada di meja Restoran Ani Sup Utara bersama rakan serumah untuk sekurang-kurangnya memberi sokongan moral. Namun seperti yang di duga kita memang bukan lawan mereka. Bukan sekadar longgar malah kita menjerumuskan kepala kita untuk di pancung sebelum masanya. Cuma nasib masih menyebelahi Harimau Malaya. Sekiranya takdir sudah menentukan sebaliknya mngkin kita bakal pulang dengan sedozen jaringan. Mungkin Khairul Fahmi Che Mat bolehlah berkira-kira untuk gantung boot.

Selepas perlawanan itu penulis terkesima dengan pelbagai persoalan. Apa yang sebenarnya Datuk Raja Gobal cuba usahakan. Penulis tidak mahu mempersoalkan tentang pemain. Tetapi lebih kepada tanggungjawab jurulatih mahupun semua yang melingkari kerusi empuk pimpinan FAM. Pemain seperti biasa tiada aura yang perlu di perkatakan. Semuanya belum boleh di jadikan sandaran sebagai pemain yang bakal menjadi idola peminat. Saffi Sali hanya menjadi boneka di tengah padang. Sama ada dia hilang fokus, bercelaru atau memang itulah dirinya yang sebenar. Beberapa minggu menagih latihan di Cardiff city adakah memberi kesan besar atau sebaliknya. Beliau harus tahu menjawabnya kerana cita-citanya besar, sebesar Ramli yang terkinja-kinja bagaikan kera sumbang kononnya bermain di Manchester United si Red Devil. Iklan pembakar semangat yang kononnya menjadi harapan kepada rakyat Malaysia kelak suatu hari nanti kita bakal mempunyai seorang wira negara. Bermain untuk pasukan yang hebat. Namun bagi penulis iklan itu umpama mimpi mat jenin di siang hari. Satu lagi lawak murahan. Kita memerlukan realiti bukannya menagih simpati.

Seperkara yang nyata Badan induk bolasepak negara FAM perlu lebih serius dalam melihat perkara ini. Kekalahan demi kekalahan dalam usaha memantapkan pasukan negara, lebih-lebih lagi pada perlawanan persahabatan yang dikatakan berstatus kelas A ini. Untuk apa perlawanan kelas A kalau mentaliti pengurusan dan pemain berada dalam kelas C. Kita kena mantapkan mental, fizikal dan keseluruhan organisasi sebelum mengada-ngada untuk tunjuk lagak konon akulah yang menjadi jaguh mengatur perlawanan besar itu dan ini. Kalau hanya mempertaruhkan maruah pada kedudukan paling bawah makanya pengurusan FAM harus di rombak terus. Penulis sudah banyak kali menyuarakan pandangan supaya struktur organisasi FAM yang tidak boleh di kritik ini di ganti terus dengan badan profesional yang di bawahnya perlulah di barisi kepimpinan profesional. Baik dari Presiden sehinggalah tukang buat air.
Mesti ada yang kata penulis pun angan-angan mat jenin menyuarakan pandangan yang sebegiu rupa. Penulis memang mengakui bukan expertist yang tahu serba serbi tentang bolasepak. Malahan jauh dari itu. Tapi inilah namanya keterbukaan. Setiap orang memberi pandangan, memberi cadangan memandangkan orang yang berada di dalam FAM itu adalah orang-orang besar. Maka mereka perlulah dari kalangan orang yang bagus. Kalau orang yang bagus dan profesional sepatutnya menerima kritikan adalah satu tanggungjawab sosial yang mereka harus terima dengan keterbukaan. Bukan melenting terkinja-kinja macam iklan si Ramli yang memalukan itu. Kita ada orang-orang yang bagus seperti Allahyarham Datuk Paduka Ahmad Basri Akil, bekas naib presiden FAM yang mempunyai daya imaginasi yang kreatif malahan mampu memimpin dengan baik. tapi malangnya dia sudah tiada dan pergi meninggalkan FAM tanpa pengganti yang berkaliber sepertinya. Tidak lupa juga Tan Sri Elyas Omar, peneraju kecemerlangan bolasepak Kuala Lumpur suatu masa dahulu yang amat di kagumi. Kuala Lumpur begitu gah dengan menampilkan nama-nama besar seperti Fandi Ahmad, K.Kanan, Malek Awab, semuanya dari Singapura. Ketika itu Liga bolasepak tempatan begitu gemilang. Stadium sentiasa penuh malahan setiap minggu perlawanan bolasepak sentiasa di nantikan. Ketika itu juga FAM bukanlah dalam acuan yang bagus namun masih terkawal. Liga bolasepak pun masih semi-pro bukan berstatus profesional seperti sekarang. Tapi darjat liga bolasepak ketika ini seperti pokok bunga yang perlukan siraman baja yang lebih asli untuk kembang mekar. Mungkin tangan-tangan yang menabur bajanya adalah dari kalangan yang suka menghias sahaja bukan menjaganya. Mereka menanam dari benih yang bagus tapi layu kerana salah kaedah. Simboliknya peneraju FAM mungkin seperti itu juga. Cakap macam bagus. Guna pelbagai kaedah tapi hasilnya tetap sama.

Penulis berasa sedikit bangga apabila pasukan negara seolah-olah sudah bangkit dari tidur apabila menjuarai Piala Suzuki. Gembira juga kerana ada peningkatan yang menakjubkan. Tapi nampaknya kegembiraan itu tidak kekal lama. Melihat kepada perlawanan Pasukan Olmpik yang tumpas di tangan Jepun baru-baru ini, ditambah lagi dengan kekalahan skuad senior kepada Australia menampakkan dengan jelas kita terumbang-ambing. Mungkin hanya jaguh kampung peringkat Asia Tenggara. Mungkin juga jika kita lawan Indonesia sekali lagi silap gaya ada harapan kita malu besar. Ketika perlawanan dengan Jepun itu juga ternyata anak-anak buah Kim Swee langsung tidak melawan. Tiada strategi. Malahan pemain seperti hilang arah. Melihat muka si jurulatih juga jelas seolah-olah dia sendiri sudah habis ikhtiar. Apakah pemain gagal membendung perasaan gugup berhadapan Jepun di gelanggang lawan. Apakah pemain melihat Pasukan Jepun itu sebagai sebuah pasukan yang terlalu kuat sehinggakan begitu gemuruh, hilang rentak. Apakah psikologi pemain kita terlalu rendah?

Pastinya pada perlawanan skuad olimpik dan skuad senior itu keduanya menghadapi fenomena yang sama. Pemain kita terlalu slow. Lambat bertindak. Tidak aggresif. Tidak tangkas. Kurang kreatif. Mutu kawalan bola secara individu atau keseluruhan begitu teruk sekali. Pasukan Australia seperti yang sedia maklum adalah sebuah pasukan yang mementingkan fizikal. Semenjak zaman piala dunia bersama Guus Hiddink lagi tidak keterlaluan lagi ramai yang menyatakan mereka bermain ala Ragbi. Fizikal pemain yang tegap, tinggi malahan larian pantas sememangnya ramuan yang menjadi sandaran pasukan Socceroos itu. Raja Gobal seharusnya menyedari perkara itu dan pastinya mengambil kira apakah rencana yang sesuai untuk menanganinya. Mampukah pemain negara menerima asakan keras pemain Australia itu di samping skil individu yang jauh meninggalkan pasukan negara. Sepatutnya pemain-pemain kita sedia maklum. Dari aspek kepantasan pemain negara jauh ketinggalan.  Makanya jalan terbaik adalah meningkatkan stamina, mengganda latihan kepantasan dan merencana latihan taktikal yang bersesuaian. Sekurang-kurangnya jika tidak pun pemain dapat menyerap tekanan. Biarpun kalah asalkan melawan. Paling penting semangat juang yang tinggi. Kalah satu atau dua gol mungkin tidak menjadi soal. Setidak-tidaknya pemain berusaha bersungguh-sungguh. Bukan seperti perlawanan tersebut yang menyingkap habis kelemahan, tiada strategi, malahan Australia yang turun bermain pun bukanlah seratus peratus, namun mampu menundukkan Malaysia dengan mudah.

Jadikanlah kekalahan itu sebagai suatu hikmah yang cukup berguna. Sudah sampai masanya kita lupakan perlawanan persahabatan yang berstatus A itu. Carilah pasukan yang setanding atau yang mampu memberi cabaran di peringkat serantau. Perhebatkan pencarian bakat dengan memperhebatkan liga bolasepak kita. Carilah pakar-pakar yang mampu mengolah semula liga tempatan agar berupaya melahirkan generasi baru yang berkelas dunia. Struktur semula akademi bolasepak ke tahap yang lebih tinggi. Kehadiran semula pemain import mungkin satu langkah yang dapat membantu membangkitkan aura pemain tempatan juga kepada penonton dan penyokong. Perhebatkan juga promosi agar dapat mencari penaja yang mampu menyuntik modal kepada tabung kewangan FAM, persatuan negeri atau kelab. Perbaiki mutu pengurusan stadium dengan menambahbaik keadaan padang ketahap yang lebih tinggi. Jadikan sains sukan sebagai satu wadah yang berfungsi sebagai pemangkin pendidikan yang diguna pakai dalam rencah penstrukturan bolasepak. Boleh di jadikan panduan dalam aspek latihan, pemakanan, perancangan dan sebagainya. Menambah nilai dari aspek pengurusan kewangan dengan peruntukan dana oleh kerajaan atau memberi galakan kepada tabung kewangan dari sumber swasta atau orang perseorangan. Memperkemaskan mutu penyiaran, pengiklanan dan penjualan tiket yang teratur. Merperketatkan undang-undang rasuah,penyalahgunaan kuasa dalam bolasepak. Banyak lagi perkara yang perlu FAM atau negara tangani dengan segera jika mahu melihat sukan bolasepak ini menjadi satu fenomena. Sekurang-kurangnya memenangi piala Asia atau layak ke piala dunia. Namun jika bersandarkan kepada kemampuan yang ada, baik dari FAM, selaku pengemudinya dan pemain sedia ada jika tiada revolusi secara besar-bearan @ ekstrim di lakukan, lupakanlah sahaja angan-angan mat jenin Si Ramli yang terkinja-kinja macam beruk mak yeh tu. Lupakanlah sahaja fesyen menghantar pemain berlatih keluar negara jika hanya sekadar memohon simpati mereka. Kita mahukan kelab menawarkan peluang kepada pemain kita bukannya terhegeh-hegeh menawarkan pemain kita kepada kelab. Ciptakan  pemain lagenda negara bertaraf dunia, walaupun seorang. Tapi perlu di ingat rangking FIFA pun kena berada bawah seratus, sekurang-kurangnya 70, barulah mereka buka mata. Barulah nanti ada Ramli yang tak perlu terkinja-kinja bermain di BPL. Renung-renungkan...... 


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...