Wednesday 26 October 2011

Retro : Terengganu Juara Piala Malaysia 2001

Akhirnya Terengganu berjaya bergelar juara Piala Malaysia pada tahun 2001. Tarikh keramat 3 November 2001 pasti diingati oleh semua penyokong skuad penyu yang menyaksikan mereka menewaskan Perak 2-1 di Stadium Bukit Jalil untuk membawa pulang Piala Malaysia buat pertama kalinya ke bumi Terengganu.

Terengganu yang diletakkan di dalam kumpulan C bersama Perak, JKR Kelantan dan TNB Kelantan layak ke suku akhir selaku juara kumpulan C apabila menang 5 kali dan tewas sekali kepada Perak 0-3 di Ipoh. Di peringkat suku akhir pula mempertemukan Terengganu dan Selangor.
Perlawanan pertama peringkat suku akhir dilangsungkan di Kuala Terengganu dan Terengganu dan Selangor terikat dengan jaringan 2-2 hasil 2 jaringan Sapian Wahid dan 2 gol Yusri Che Lah. Pada perlawanan perlawanan ke 2 di Shah Alam, Terengganu dengan mudah menundukkan Selangor 3-1 hasil jaringan Rosdi Talib, Wan Rohaimi, dan Subri Sulong. Terengganu layak ke separuh akhir dengan aggregate 5-3.

Di peringkat separuh akhir pula Terengganu berentap dengan pasukan jiran Kelantan. Terengganu mengecewakan Kelantan 2-0 di Kuala Terengganu hasil jaringan Sapian Wahid dan Nafuzi Zain. Hasrat Kelantan untuk bangkit di Kota Bharu tidak kesampaian apabila Terengganu berjaya mengikat Kelantan 1-1 hasil jaringan Sapian Wahid. Terengganu meneruskan langkah cemerlang mereka dengan melayakkan diri ke final Piala Malaysia 2001.

Lawan yang akan mereka tentang di pentas final adalah juara bertahan Perak. Mereka telah pun bertemu pada peringkat kumpulan di mana Terengganu menundukkan Perak 2-1 di Kuala Terengganu dan tumpas 0-3 di Ipoh.

Pasukan Mat Zan Mat Aris dikejutkan pada minit 16 oleh rembatan leret Rafdi Rashid dari luar kotak penalti yang menerjah jaring gol Terengganu. Tersentap dengan jaringan itu Terengganu meningkatkan tempo serangan mereka yang diketuai oleh Hairuddin Omar dan Sapian Wahid untuk mencari gol kemenangan dan hasilnya pada sepauh masa kedua Wan Rohaimi ditarik di dalam kotak dan pengadil menghadiahkan sepakan penalti untuk Terengganu dan dengan mudah disempurnakan oleh Rosdi Talib untuk gol penyamaan.Sapian Wahid menjadi wira skuad penyu dengan menjaringkan gol kemenangan hasil hantaran lambung Wan Rohaimi dan Sapian Wahid yang hanya mempunyai sedikit ruang dari tepi gol berjaya menolak masuk bola menewaskan penjaga gol Perak.

Dengan kemenangan itu, pasukan Terengganu akhirnya berjaya memahat nama mereka selaku pasukan yang pernah menjuarai Piala Malaysia selepas 3 kali hanya mampu bergelar naib juara.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...