Wednesday 7 December 2011

Import Serbia Dan Slovakia Sah Sertai Perak

Dua pemain import dari Serbia dan Slovakia akhirnya sah menjadi milik Perak bagi mengharungi siangan Liga Malaysia (Liga-M) 2012, setelah mengikat kontrak selama semusim dengan skuad Kejor Yob Kejor, semalam.

Dua pemain berkenaan adalah Lazar Popovic , 28, dari Serbia kali terakhir beraksi untuk kelab FK Zeljeznicar dalam Liga Premier Bosnia serta Michal Kubala , 31, dari Slovakia dan kali terakhir bermain untuk kelab FC Astra Ploiesti dalam Liga Romania.


Lazar Popovic (penyerang)

Presiden PAFA, Datuk Zainol Fadzi ketika ditemui berkata, kedua-dua pemain berkenaan adalah antara pemain import dalam kelompok terakhir yang diuji pada sesi pemiliihan baru-baru ini.

Menurutnya lagi, berdasarkan kepada perbincangan yang dibuat kelmarin, kedua-dua pemain berkenaan termasuk pihak ejen mereka dilihat bersetuju dengan kontrak yang ditawarkan.

“Dalam senarai terakhir sesi pemilihan lalu kita ada kelompok pemain dari Serbia, Korea Selatan, Slovakia dan Australia.

“Mereka ini tidak mengikuti sesi latihan di Ipoh, tetapi beraksi dalam sesi perlawanan persahabatan kita di Lembah Klang dan Negeri Sembilan baru-baru ini.

“Mereka ini juga ada diturunkan dalam tiga perlawanan terakhir bagi memastikan mereka benar-benar cergas tidak mengalami sebarang masalah kecedaraan,” katanya.


Michal Kubala (pemain tengah)

Terdahulu, Zainol berkata, pemilihan pemain import ini diharap dapat menjawab teka-teki dalam kalangan peminat berhubung siapakah pemain import yang bakal mewakili Perak pada musim 2012 kelak.

Malah katanya, ada antara mereka (penyokong) yang menghubunginya bagi menyatakan pemain yang bersesuaian untuk dipilih kelak.

“Dalam soal ini, saya setuju bahawa mereka (penyokong) juga ada pilihan mereka sendiri. “Bagi saya, peminat/penyokong semuanya ternanti-nanti. Sepanjang sesi pemilihan, saya lihat hampir 500 penyokong yang datang bagi melihat sendiri sesi pemilihan berkenaan.

“Bagaimanapun, kita dah serahkan tugas berkenaan kepada pihak jurulatih serta pihak pengurusan untuk tentukan dan Alhamdulillah, akhirnya pemilihan telah dibuat dan saya yakin ianya adalah berdasarkan kepada perancangan pegawai-pegawai pasukan.

“Justeru, saya sebagai Presiden mengiktiraf pemilihan berkenaan kerana apa yang penting di sini adalah pasukan dapat dimantapkan sesuai dengan kehendak penyokong.

“Kita tiada niat lain, yang penting kita lihat kepentingan pasukan itu adalah melebihi segala-galanya dan sebagaimana yang saya katakan ketika menjawat jawatan Presiden ini dahulu, kita akan cuba perkuatkan pasukan dari semasa ke semasa,” katanya lagi.

Sementara itu, Zainol berkata, PAFA juga bakal mengadakan satu sesi pengenalan pemain serta pengurusan pasukan dalam masa terdekat.

Katanya lagi, pada sesi berkenaan, PAFA akan memperkenalkan kedua-dua pemain import yang telah dipilih bagi mewakili Perak pada siangan Liga-M 2012.

“Kita akan buat sesi pengenalan ini. Ianya bukan sahaja melibatkan pemain import, tetapi juga merangkumi memperkenalkan penaja baru, kad bermusim dan sebagainya.

“Kita akan bermesyuarat dalam minggu ini bagi menyelaraskan semua perkara tersebut,” katanya lagi.

sumber : pafanews.com


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...