Sunday 11 December 2011

Nazmi Faiz Mansor Buru Tempat Dalam Skuad Harimau Malaya.

TEMPAT dalam skuad senior kebangsaan kini menjadi buruan pemain tengah sedang meningkat, Muhamad Nazmi Faiz Mansor dalam usaha mengukuhkan namanya dalam kancah bola sepak tempatan dan antarabangsa.

Tanpa berselindung pemain berusia 17 tahun bertubuh cilik itu menyuarakan keyakinan dan bersedia untuk diserapkan dalam barisan pemain senior negara kendalian Datuk K Rajagobal sekiranya dipanggil.

“Saya akan cuba mengekalkan prestasi terbaik supaya dapat mewakili skuad senior tahun depan terutamanya menjelang kejohanan penting mempertahankan Piala AFF, piala keagungan bola sepak Asia Tenggara ditambah lagi Malaysia menjadi tuan rumah bersama,” katanya.


Pemain kelahiran Kuala Lumpur itu mula mencipta nama dan mendapat perhatian peminat bola sepak negara walaupun hadir sebagai pemain ‘bidan terjun’ ke Sukan Sea Indonesia bagi menggantikan Gary Steven Robbart yang mengalami kecederaan.

Peluang keemasan yang diberikan pengendali skuad Sukan Sea negara, Ong Kim Swee tidak dilepaskannya apabila tampil buat kali pertama membantu skuad B-23 negara menewaskan Thailand 2-1 pada perlawanan kedua peringkat kumpulan selepas sekadar menjadi penonton pada aksi pertama menentang Singapura.

Pelajar Tingkatan Lima Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) itu berjaya membalas “perjudian” Kim Swee yang mahukan kemenangan ketika menentang Thailand dengan mempamerkan aksi memberangsangkan apabila berganding bersama salah seorang pemain idolanya yang juga kapten skuad Sukan Sea negara, Baddrol Bakhtiar.

Kemuncaknya pemain yang melakukan pengorbanan dengan menangguhkan hasrat mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang secara kebetulannya berlangsung pada minggu yang sama akhirnya berjaya membantu skuad negara mempertahankan “ibu segala pingat” Sukan Sea itu.

Bermula saat itu, popularitinya terus meningkat hingga ada yang mengangkatnya sebaris dengan pemain senior negara yang lain seperti Mohd Safee Sali dan Khairul Fahmi Che Mat.

“Saya bersyukur dengan persembahan yang dipamerkan (di Indonesia dan kelayakan Sukan Olimpik) sekarang namun tidak boleh berpuas hati kerana perlu terus fokus bagi meningkatkan prestasi.

“Pada usia sekarang masih banyak perkara yang perlu dipelajari namun buat masa ini lebih baik saya kekal bersama Harimau Muda A. Namun jika ada kelab luar negara yang berminat saya tetap bersedia untuk menyahut cabaran,” katanya yang lebih dikenali dengan panggilan Nazmi di kalangan rakan-rakan.

Prestasi memukau pada Sukan Sea diteruskannya apabila menggalas cabaran penting dengan bijak menggerakkan bahagian tengah skuad Olimpik negara menentang Syria dan Bahrain di Stadium Nasional, Bukit Jalil, penghujung bulan lalu sekali gus memukau kira-kira 60,000 penyokong yang hadir di kedua-dua perlawanan.

Nyata gaya permainannya tidak mengalami kemerosotan malah terus menjadi tumpuan segenap lapisan peminat bola sepak apabila meledak gol cantik menerusi rembatan kencang dari luar kotak penalti yang berakhir dengan skuad Olimpik negara kecundang 2-3 kepada Bahrain walaupun mendahului dua gol.

Namun Nazmi menganggap segala pujian dan persembahan cemerlangnya tidak lengkap tanpa restu ibu bapa yang sentiasa memberikan sokongan.

Tambah anak keempat daripada lima adik-beradik itu, pada setiap perlawanan sebelum turun beraksi dia akan menghubungi bapanya, Mansor Mustapha dan ibunya, Normala Nordin bagi meminta doa mereka supaya dapat mempamerkan aksi cemerlang di tengah padang.

Walaupun disifatkan seorang pemalu, Nazmi adalah seorang pelajar yang aktif dalam bidang sukan sejak di Sekolah Kebangsaan Taman Melawati lagi.

Bukan saja bermain bola sepak, dia juga terbabit secara aktif dalam beberapa sukan lain seperti sepak takraw dan olahraga sebelum menyambung pelajaran di Sekolah Menengah Projek Seksyen 11, Shah Alam dan memberikan tumpuan sepenuhnya kepada bola sepak.

Namun sekolah di Shah Alam itu hanya persinggahan sementara bagi Nazmi apabila terpilih ke SSBJ ketika berusia 14 tahun sekali gus membuka ruang lebih besar untuk mengembangkan lagi bakatnya.

Selain kejayaan memenangi pingat emas temasya dwitahunan di Indonesia itu, antara pencapaian yang diraihnya adalah muncul juara kejohanan B-17 Liga Kementerian Pelajaran Malaysia selain dipilih sebagai pemain terbaik kejohanan ketika berusia 15 tahun.

Aksi cemerlang itu membolehkan Nazmi terus mendapat perhatian apabila diserapkan ke skuad Harimau Muda B dalam kancah Liga Perdana musim ini selepas beraksi cemerlang dalam saingan Piala Presiden bersama SSBJ B tahun lalu.

SUMBER : MYMETRO

Hangbola - Sudah semestinya ramai peminat-peminat Nazmi Faiz dan Harimau Malaya berharap dan mengidam Rajagobal memberi peluang kepada Nazmi Faiz beraksi untuk skuad senior Harimau Malaya buat pertama kali termasuk lah hangbola sendiri.

Aksinya di bahagian tengah skuad harimau muda mewujudkan fenomena sehingga Nazmi digelar "Malaysia wonder kid" yang mempunyai bakat luar biasa dan mampu menjadi jeneral berwibawa suatu hari nanti. 

Nazmi pastinya perlu bersaing dengan nama-nama seperti Safiq Rahim, Amar Rohidan, Ismail Faruqi dan Joseph Kalang Tie dan tidak lupa juga Baddrol Bakhtiar. Jika dinilai dari prestasi semasa Nazmi Faiz mempunyai kebolehan untuk mengemudi bahagian tengah Harimau Malaya cuma mungkin kekurangan dari segi pengalaman.

Dahulu ramai yang risau dengan kemampuan Malaysia melahirkan ramai  pemain-pemain yang kreatif dan berkebolehan di bahagian tengah sehingga kita tidak mampu langsung menguasai bola dan mencipta gerakan-gerakan bahaya. Hanya mampu membuat hantaran-hantaran jauh dari bahagian pertahanan terus ke penyerang.

Jika kita perasan kelebihan utama skuad harimau muda adalah mempunyai kekuatan di bahagian tengah. Kini Rajagobal mempunyai banyak pilihan pemain di bahagian tengah dengan munculnya pemain-pemain yang kreatif dan berkebolehan seperti Nazmi Faiz, Baddrol Bakhtiar, Irfan Fazail, Gurusamy, Gary Steven Robart, Affizie Faisal dan mungkin akan muncul lagi pemain-pemain lain yang berkebolehan nanti. 

Harapan hangbola ingin melihat Nazmi Faiz beraksi bersama Safiq Rahim dan Amar Rohidan mengemudi bahagian tengah mencipta gerakan untuk disudahkan penggempur berbisa Safee Sali. Pasti mantap!!!


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...