Saturday 3 December 2011

Khairul Fahmi Pernah Terfikir Gantung But Awal?


Penjaga gol sensasi negara, Khairul Fahmi Che Mat tidak menafikan pernah terfikir bersara awal daripada karier kesayangannya itu gara-gara tidak tahan dilanda kontroversi demi kontroversi membabitkan kisah di luar padang.

Mengakui lemas apabila sering dihambat dengan cerita sensasi dipaparkan media, Khairul Fahmi atau lebih mesra dipanggil Apek merayu dia diberi ruang untuk memberi tumpuan kepada kariernya.

“Apabila berdepan kontroversi seperti itu, saya terfikir (untuk bersara awal). Saya sedih sebab cerita-cerita peribadi yang tidak elok disebarkan menyebabkan maruah keluarga saya terjejas. “Saya sayangkan keluarga. Setakat ini keluarga masih memberi kepercayaan dan memberi sokongan, tapi kalau perkara sebegini berterusan susahlah,” katanya yang ditemui selepas majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2011 di sini, semalam.

Pada majlis itu, penjaga gol berusia 22 tahun itu meraih anugerah Penjaga Gol Terbaik buat tahun kedua berturut-turut berikutan kecemerlangannya membantu Kelantan muncul juara Liga Super musim lalu.

Apek turut menjadi tonggak kejayaan skuad bawah 23 tahun negara yang mempertahankan pingat emas Sukan Sea Indonesia, baru-baru ini.

Bagaimanapun, reputasi pemain kelahiran Kota Bharu itu tercalar dengan kontroversi terbaru membabitkan penyebaran lima gambarnya bermesra bersama seorang gadis yang kini tersebar menerusi beberapa blog hiburan.

sumber : kelate.net

hangbola nak menyeru kepada pihak-pihak yang suka mengambil kesempatan terhadap populariti seseorang dengan membuat cerita-cerita dan gossip-gossip negatif dengan mendedahkan aib seseorang semata-mata untuk mendapatkan publisiti "murahan" tolong hentikan sebelum ianya akan menyebabkan karier seseorang itu  musnah dan hancur. Bagaimana jika ia terjadi kepada anda? Apa perasaan anda? Tidak salah kiranya jika kita membuat cerita-cerita positif yang boleh memangkinkan lagi semangat seseorang untuk lebih berjaya di dalam kariernya.

“Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah sesetengah kamu mengumpat sesetengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat lagi maha Pengasihani”. ~ Al-Hujuraat ayat 1













No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...