Tuesday 13 September 2011

Sarapan Pagi Bersama Hang Bola

MAS, Air ASIA Taja QPR
KUALA LUMPUR - Teka-teki siapa penaja jersi pendatang baru Liga Perdana Inggeris, Queens Park Rangers (QPR) terjawab apabila kelab itu mengumumkan perjanjian penajaan selama dua tahun bersama dua syarikat penerbangan kebanggaan negara, Malaysia Airlines (MAS) dan AirAsia.

Uniknya, MAS akan menaja jersi QPR pada aksi di laman sendiri.

Logo AirAsia pula mendapat penghormatan dipaparkan pada jersi untuk aksi tempat lawan dan sebagai jersi ketiga.

Pengumuman dibuat di Stadium Loftus Road, London semalam oleh Pengarah Eksekutif MAS, Mohammed Rashdan Mohd. Yusof dan Ketua Pegawai Eksekutif (QPR), Phillip Beard.

Hadir sama pada majlis itu ialah Ketua Rantau Komersial AirAsia, Kathleen Tan.

Rashdan berkata: "MAS berbesar hati dikaitkan dengan QPR dalam Liga Perdana Inggeris.

"Penajaan jersi QPR di laman sendiri oleh Mas dan jersi aksi di tempat lawan oleh AirAsia adalah julung kali dalam Liga Perdana. Ia juga sebagai meraikan kerjasama kami dengan AirAsia.

"Penajaan ini meningkatkan lagi kehadiran kami pada peringkat global dan menjadi francais premium untuk peminat bola sepak dari seluruh Eropah, Asia Pasifik, Amerika, Australia serta keempat-empat penjuru dunia,".

Beared pula menyifatkan kerjasama QPR dengan dua syarikat penerbangan itu sebagai unik.

"Mendapat penajaan dua syarikat terkemuka Asia ini membuktikan jenama QPR mempunyai daya tarikan global.

"Kami cukup positif dalam kerjasama ini dengan harapan dapat mengembangkan pengaruh QPR di Asia Tenggara dan sekelilingnya.

"Ini satu urusniaga bersejarah yang menambah kegembiraan kepada kelab ini sejak pengambilalihan baru beberapa minggu lalu," ujarnya

Jersi QPR dengan logo MAS dipakai buat kali pertama dalam perlawanan melayan kunjungan Newcastle semalam.
SUMBER : utusan online


Kenari Bimbang Pancit
KUALA LUMPUR – Dua perlawanan berturut-turut di tempat lawan memberi kesan kepada skuad Kenari yang kelihatan ‘pancit’ apabila berdepan pencabar utama Kumpulan A, Perak di Stadium Perak, hari ini.

Selepas melalui perjalanan jauh menentang Sabah di Kota Kinabalu Sabtu lalu, skuad Wan Jamak Wan Hassan menyambung perjalanan ke Ipoh dalam tempoh tiga hari, menyebabkan pemain tidak mendapat rehat secukupnya.

Masalah keletihan pemain diakui Wan Jamak, namun tidak mahu ia menjadi alasan menjelang perlawanan hidup mati dengan Perak.

“Pemain saya memang penat apabila terpaksa berulang-alik dalam masa yang singkat tetapi sebagai pemain profesional mereka perlu menjangka situasi seperti ini.

“Saya menasihati pemain supaya menjaga pemakanan dan aspek lain supaya kecergasan mereka tidak terjejas.

“Biarpun persiapan kami tidak dapat dilakukan secara menyeluruh kerana kekangan masa, saya berpuas hati kerana dapat memperbaiki kelemahan ekoran kekalahan kepada Sabah,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Kalah 1-2 kepada Sabah menyebabkan Kedah tercicir ke tangga ketiga Kumpulan A dan memerlukan keputusan positif, sekurang-kurangnya satu mata apabila berdepan Perak bagi menghidupkan peluang ke suku akhir.

Kedah ke Ipoh tanpa perancang utama, Baddrol Bakhtiar yang menjalani penggantungan perlawanan akibat menerima kad merah ketika menentang Sabah, namun ia tidak menggusarkan Wan Jamak.

“Kekuatan pasukan bukan bergantung kepada seorang pemain. Tanpa Baddrol, saya yakin kekuatan keseluruhan pasukan terutama pada bahagian serangan tidak terjejas,” katanya.
SUMBER : utusan online

Safee Sedia Galas Amanah Besar
MUNGKIN agak keterlaluan jika dikatakan penggempur berbisa Harimau Malaya, Safee Sali bakal pengganti Craig Bellamy di Cardiff City.

Impian itu dilihat cukup besar untuk digalas Safee yang akan menjalani ujian pemilihan bersama kelab Liga Kejuaraan England tersebut kira-kira dua minggu bermula hari ini hingga 27 September.

Bagaimanapun, pengurus peribadi Safee, Zakaria Ab. Rahim berkata, penyerang sensasi skuad kebangsaan itu akan berusaha menampilkan prestasi terbaik bagi memikat hati panel pemilihan Cardiff.

Jelasnya, jika gagal menyarung jersi Cardiff musim ini, Safee tetap tidak akan berputus asa untuk kembali mencuba nasib pada musim depan.

“Itu semua bergantung kepada sejauh mana keazaman Safee sendiri untuk beraksi di pentas yang lebih tinggi selepas menyertai kelab Indonesia, Pelita Jaya dari Selangor sebelum ini.

“Kita harus berpijak di bumi nyata, kekosongan jentera serangan Cardiff selepas penghijrahan Bellamy (ke Liverpool) bukan bermakna peluang Safee terbuka luas kerana mereka masih mempunyai rangkaian penyerang yang hebat-hebat dari Scotland, Wales, Perancis dan juga dari England sendiri.

“Saya harap peminat Safee tidak kecewa dan terus mengecam beliau sekiranya tidak terpilih memandangkan Safee akan berusaha memberikan yang terbaik, selain benar-benar bersyukur dengan ujian pemilihan yang ditawarkan Cardiff,” kata Zakaria kepada Kosmo! semalam.

Mengulas lanjut, Zakaria berkata, Safee kini telah bersedia 100 peratus daripada aspek mental dan fizikal setelah menjalani latihan intensif selama beberapa hari bersama Pelita Jaya sebelum ini.


SAFEE bertekad menampilkan prestasi terbaik ketika sesi pemilihan di Cardiff.



“Cuma pada masa sama, saya lihat Safee masih tertanya-tanya mengenai bentuk latihan, cara pemilihan, faktor cuaca dan corak permainan yang pastinya berbeza daripada apa yang pernah dialaminya sebelum ini.

“Namun, saya yakin ia tidak akan mendatangkan masalah kepada Safee yang pastinya akan cepat menyesuaikan diri sebaik berada di sana selama dua minggu selepas ini,” katanya yang akan turut menemani Safee ke Cardiff.

Safee dijangka berlepas ke Cardiff City dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 3.35 pagi tadi selepas mendapat ‘lampu hijau’ daripada majikannya, Pelita Jaya bagi menjalani sesi pemilihan tersebut.

Selain Safee, kapten skuad kebangsaan, Safiq Rahim juga dilaporkan akan turut menjalani sesi pemilihan bersama Cardiff selama tiga minggu pada hujung Oktober depan.

Bagaimanapun, ketika ini Safiq mahu mengekalkan konsentrasi membantu Selangor dalam misi memburu Piala Malaysia buat kali ke-33 terlebih dahulu.



SUMBER : kosmo online


Chelsea Pinggir Torres


FERNANDO Torres menyertai sesi latihan Chelsea semalam untuk perlawanan Liga Juara-Juara menentang Bayer Leverkusen hari ini, walaupun dia dijangka tidak diturunkan. - REUTERS



LONDON - Fernando Torres bagaikan jatuh ditimpa tangga minggu ini apabila boss Chelsea, Andre Villas-Boas memberi bayangan menggugurkan bintang penyerang Sepanyol itu dalam dua perlawanan besar.

Ia bermula dengan aksi Liga Juara-Juara menentang Bayer Leverkusen hari ini dan pertemuan dengan penyandang juara, Manchester United dalam Liga Perdana Inggeris, Ahad ini.

Villas-Boas sebaliknya memberi kepercayaan kepada Daniel Sturridge, yang menjaringkan gol pertamanya musim ini ketika Blues menundukkan Sunderland 2-1, Sabtu lalu.

"Banyak pasukan mahukan Daniel menerusi pinjaman ketika pasaran perpindahan pemain, tetapi itu tidak akan berlaku.

"Staf teknikal dan saya berasakan kami perlu membawanya masuk, kami memiliki pemain yang cemerlang,'' katanya.

Torres diketepikan daripada kesebelasan utama pada perlawanan di Stadium of Light minggu lalu, selepas gagal mencipta jaringan dalam tiga perlawanan pertama.

Terlepas aksi pembukaan Liga Juara-Juara bakal menjadi tamparan buat penyerang berusia 27 tahun itu, yang hanya mampu menjaringkan satu gol sejak menyertai Chelsea menerusi rekod perpindahan 50 juta pound (RM240 juta), Januari lalu.

Villas-Boas bergantung kepada bintang utama untuk mengharungi minggu paling sukar dengan menggesa mereka menyalakan api perjuangan dan mem bayangkan tidak memanggil Torres.

Jurulatih itu menambah: "Minggu yang amat penting sedang menunggu kita, kami perlu fokus untuk menghadapi perlawanan yang sangat besar.

"Semua orang mahu bermula baik dalam Liga Juara-Juara dengan mengutip tiga mata, terutama dalam perlawanan di gelanggang sendiri, lagipun kemenangan penting untuk meningkatkan keyakinan pemain sebelum berjumpa Man. United.

"Ia adalah minggu yang sukar buat kami, namun kami mempunyai pasukan yang sangat bagus dan kami akan merehatkan beberapa pemain untuk membolehkan pasukan ini memberi respons yang lebih baik.

"Liga Juara-Juara memerlukan pemain beraksi pada tahap tertentu, jadi ada pemain yang mungkin tidak memenuhi kehendak saingan. Empat hari kemudian kami berdepan United pula, ia juga memerlukan pemain berada pada tahap tinggi," katanya - Agensi

SUMBER : utusan online


United Berhak Pimpin Carta Liga
BOLTON - Alex Ferguson yakin Manchester United berhak memegang status selaku pendahulu Liga Perdana England kerana skuad kendaliannya telah melalui perlawanan yang sukar pada awal kempen musim ini.

Juara bertahan itu berjaya menewaskan Tottenham Hotspur dan Arsenal sebelum menang 5-0 ke atas Bolton Wanderers kelmarin.

Kemenangan itu turut membolehkan skuad The Red Devils mendahului jiran setempat, Manchester City yang menewaskan Swansea City, Bolton Wanderers, Tottenham dan Wigan Athletic.

Selepas empat perlawanan, United dan City berkongsi 12 mata, tetapi kedua-dua pasukan itu dibezakan dengan kelebihan jaringan.

United juga telah mengumpul 18 gol daripada empat perlawanan pertama dan jaringan hatrik kedua berturut-turut dari Wayne Rooney serta dua gol daripada Javier Hernandez menyaksikan mereka mengungguli kedudukan teratas.

Ini bermakna skuad kendalian Ferguson itu akan turun menentang Chelsea di Old Trafford dengan kelebihan psikologi pada 18 September ini.

Pengurus The Red Devils itu sedar kemenangan ke atas anak buah Andre Villas-Boas tersebut mampu mengukuhkan reputasi mereka dalam saingan liga domestik dan di pentas Eropah.

"Kamu hanya perlu memberi tumpuan kepada pasukan kamu sendiri," kata Ferguson.

"Ia adalah satu permulaan yang sukar pada awal musim, kami terpaksa berdepan semua pasukan yang hebat. Ahad ini kami bertemu Chelsea pula.

"Ia satu jadual yang padat dan kalau kami berjaya mengharunginya, kami telah melakukannya dengan baik." - AFP
SUMBER : kosmo online

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...